12 Nov 2009

Halaqah~

Assalamu'alaikum,

Nisah!!! These are what u have missed!! Nda tia ko mndgr aku jd host. Haha...

Terdapat banyak hadits yang menyebutkan tentang hikmah dan

kelebihan bagi orang yang melakukan puasa-puasa sunat ini.

Antaranya ialah.


1. Puasa Hari Isnin Dan Khamis


Hikmah berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis disebutkan

dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid

Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasullullah Shallallahu ‘alaihi

wasallam bersabda:


Maksudnya: “Kedua-dua (hari Isnin dan Khamis) itu ialah hari

dilaporkan amalan-amalan (manusia) kepada Allah Ta‘ala Rabul

‘Alamin, maka aku suka supaya dilaporkan amalanku ketika aku

sedang berpuasa.”

(hadits riwayat an-Nasa’i)


Dalam hadits yang lain, Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam

ada ditanya mengenai puasa pada hari Isnin, baginda bersabda:


Maksudnya: “Itulah hari (hari Isnin) yang padanya aku

dilahirkan, dan padanya aku dibangkitkan (menjadi Rasul) atau

padanya (kitab Al-Quran) diturunkan kepadaku.”

(Hadits riwayat Muslim)


2. Membaca Al-Qur’an


Jika kita rajin dan tekun bertadarus di bulan Ramadhan, maka

teruskan di bulan-bulan yang lain. Dalam makna yang lain, amalan

membaca Al-Qur’an itu perlu dikekalkan selepas berlalunya bulan

Ramadhan kerana orang yang membaca al-qur‘an akan mendapat

ganjaran dan pahala.

Antara ganjaran membaca al-Qur’an itu, pembaca al-Qur’an akan

dikurniakan hatinya dengan cahaya oleh Allah Subhanahu wa

Ta‘ala dan dipeliharaNya dari kegelapan. Diriwayatkan daripada

Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:


Maksudnya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam

bersabda: “Sesiapa yang mendengar satu ayat daripada Kitab

Allah Ta‘ala (al-Qur’an) ditulis baginya satu kebaikan yang

berlipat ganda. Sesiapa yang membacanya pula, baginya cahaya

di hari qiamat.”

(Hadits riwayat Ahmad)


3. Bersedekah Sunat

Amalan bersedekah perlu dikekalkan. Ini kerana terdapat banyak

ayat-ayat al-Qur’an dan hadits Rasullullah Shallallahu ‘alaihi

wasallam yang menerangkan mengenai kelebihan bersedekah.

Antaranya ialah Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala ialah:


Tafsirnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang

membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti

sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap

tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah

akan melipatgandakan pahala bagi siapa yang dikehendakiNya,

dan Allah Maha luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu

pengetahuanNya.”

(Surah al-Baqarah: 261)


Manakala dalam sebuah hadits pula kelebihan bersedekah ini ada

disebutkan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah

Radhiallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallahu `alaihi

wasallam bersabda:


Maksudnya: “Barangsiapa yang bersedekah dengan sesuatu yang

sebanding dengan harga sebiji kurma yang diperolehinya dari

pekerjaan yang baik (halal), sedangkan Allah itu memang tidak

suka menerima sesuatu melainkan yang diperolehi dari yang baik

(halal), maka sedekah orang tersebut akan diterima oleh Allah

dengan tangan kananNya (diterima dengan rasa gembira dan

penuh perhatian), kemudian Allah akan menambah pahala

sedekah itu untuk orang yang bersedekah itu, sebagaimana

seseorang dari kamu memelihara anak kuda yang dimilikinya,

sehingga apa yang disedekahkan itu menjadi banyak sekali

bagaikan gunung (pahalanya semakin dilipat gandakan).”

(Hadits riwayat al-Bukhari)


4. Puasa Hari ‘Arafah (9 Zulhijjah)

Kelebihan berpuasa pada hari ‘Arafah pula ialah menghapuskan

dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan

datang sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Qatadah Al-

Anshari Radhiallahu ‘anhu katanya:


Maksudnya: “Dan ditanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi

wasallam tentang berpuasa pada hari ‘Arafah? Maka Baginda

bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan (dosa)

setahun yang akan datang.”

(Hadits riwayat Muslim)

Namun begitu puasa ‘Arafah ini hanya sunat kepada orang yang

tidak melakukan ibadah haji.

Rahmat Allah Subhanahu Wa Ta‘ala kepada hambaNya sangatlah

luas, perkara ini boleh diperolehi walaupun melalui amalan yang

sedikit tetapi dikurniakan ganjaran pahala berlipat kali ganda,

bahkan dalam perkara-perkara tertentu ganjaran pahala amalan

yang sedikit itu tidak terkira banyaknya. Oleh kerana itu rebutlah

peluang meraih ganjaran pahala yang banyak ini khasnya di hari-

hari atau masa-masa yang ditentukan ada kelebihan itu. Sentiasalah

dalam ingatan supaya melaksanakan amalan-amalan sunat yang

menjadi kesukaan nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam

itu kita cuba sedaya upaya jangan sekali-kali ianya ditinggalkan.

Jadikanlah suatu prinsip dalam perkara sunat, jika tak dapat buat

semua jangan tinggalkan semua, buat yang terdaya, asalkan

berterusan, kesannya tentu akan membuahkan hasil yang lumayan.

Amalan yang paling disukai Allah adalah amalan yang berterusan (berkekalan) walaupun amalan berkenaan dilakukan sedikit-sedikit.


Source:

Jabatan mufti.

Teruskan Beribadat Sunat

Walaupun Bukan Di Bulan Ramadhan

(Bahagian Ketiga)

bil 336


0 comments: